ABC Band Bantah!

SEBUAH kumpulan rock tanah air yang menerapkan konsep dakwah dalam muzik mereka, ABC band membantah keputusan kerajaan membenarkan kumpulan Metallica membuat persembahan di negara ini.
ABC Band yang menampilkan konsep rock rohani mendakwa kehadiran Metallica di Malaysia dibimbangi akan memberi kesan negatif yang lebih teruk kepada golongan belia negara ini.
Penyanyi ABC Band, Ahmad Nazri Khamis berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan semula keputusan itu kerana terdapat banyak kumpulan rock lain yang pendekatan mereka jauh lebih beradab dan berakhlak berbanding Metallica.
“Sekarang ini sudah cukup banyak isu gejala sosial dilaporkan iaitu daripada sekecil-kecil jenayah sehinggalah kepada sebesar-besar jenayah.
“Oleh itu ABC Band membantah sekeras-kerasnya keputusan membenarkan Metallica membuat persembahan di Malaysia kerana kesan negatif kepada masyarakat akan lebih parah,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
ABC Band yang berasal dari Batu Pahat, Johor dianggotai oleh Mohd Failus Mohd Salleh (bass), Ahmad Nazri Khamis (vokal), Sheikh Fauzi Ali (penyanyi), Kamarudin Kepol (penyanyi), Samsuddin Ishak (gitar), Mohd Noorhazimin Umarhan (keyboard) dan Azhar Amin (drum)
Kumpulan dakwah melalui muzik rock yang bernaung dibawah Quantize Studio & Production dan Otai Studio itu pernah menghasilkan album pertama berjudul 4U Gaza terbitan Aim Crossfire.
Ia mengandungi lagu Mengenal Diri, Disapa Hidayah, Orang Muda Geng Kita, Mencari Cahaya, Selamanya, Anugerah Maha Esa, Syahidlah Daku dan Aku Pejuang Islam.
Media pada 4 Jun lalu melaporkan kumpulan thrash metal legenda dari Amerika Syarikat, Metallica mengesahkan akan mengadakan konsert pertama mereka di Malaysia iaitu di Stadium Merdeka di sini pada 21 Ogos ini.
Pengumuman mengenai tarikh konsert itu diumumkan menerusi laman web rasmi Metallica iaitu www.metallica.com baru-baru ini.
Selepas berkunjung ke Kuala Lumpur, Metallica yang terkenal dengan album seperti Masters of Puppets, Kill’em All, Ride The Lightning dan And Justice For All, akan mengadakan konsert di Singapura pada 24 Ogos ini.

Artikel penuh: http://mynewshub.my